Mengenai Śaṇkara Sankaracharya

Menurut Dr Radhakrishnan: "Riwayat Śaṇkara memberikan gambaran yang amat bertentangan. Beliau seorang ahli falsafah, penyair, cendikiawan, wali, ahli mistik dan juga seorang pembawa reformasi agama. Beliau mempunyai pelbagai bakat berlainan sehingga jika kita cuba untuk memikirkan personalitinya, kita mendapat gambaran-gambaran berbeza. Dalam zaman remajanya, beliau penuh dengan cita-cita intelektual, seorang pembahas yang berani dan tidak mudah mengalah. Menurut pandangan lain, beliau seorang ahli politik yang bijak dan licik (lebih kepada patriot) yang cuba untuk membawa rasa perpaduan dalam kalangan rakyat. Bagi pendapat ketiga, beliau seorang ahli falsafah yang tenang yang terlibat dalam percubaan untuk mendedahkan percanggahan kehidupan dan pemikiran dengan kepastian yang tiada tandingan. Keempat, beliau seorang mistik yang menyatakan bahawa kita lebih mulia daripada apa yang kita tahu. Tidak ada ramai orang yang universal sepertinya."

Swami Vivekananda sering menekankan keperluan menggabungkan ilmu dan iman dan berkata bahawa kita memerlukan "akal Śaṇkara dan hati Buddha". Ketika mengajar falsafah Vedanta, beliau sering mengambil pendekatan Śaṇkara dan mengungkap di sana sini pandangan Ramanuja. Swami Vivekananda yang dianggap sebagai seorang pendukung terbaik falsafah Śaṇkara dalam zaman moden berkata bahawa "Śaṇkara ialah guru falsafah Vedanta yang terbaik." Swami Vivekananda berkata lagi, "Śaṇkaracharya telah menangkap irama Veda, nada kebangsaan. Sesungguhnya saya sentiasa membayangkan bahawa ketika muda beliau telah mempunyai sedikit pandangan seperti saya, dan beliau menghidupkan semula muzik purba seperti itu. Seluruh hasil kerjanya ialah cuma suatu denyutan keindahan Veda dan Upanishad-Upanishad."